Raja Perlis Dukacita Dengan 9 ADUN Barisan Nasional Boikot Majlis Istiadat Pelantikan Menteri Besar.


Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dukacita dengan tindakan 9 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) yang tidak hadir pada Majlis Istiadat Pelantikan Menteri Besar Perlis pagi ini.

Titah baginda, beliau mempunyai pilihan diantara dua calon yang telah disenarai pendek.

Bagaimanapun, pilihan dibuat berdasarkan pertimbangan tidak mahu ada Menteri Besar yang dikawal Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Dan kebimbangan baginda itu terbukti apabila ADUN Barisan Nasional seakan memboikot majlis itu meskipun sudah diberikan jemputan dua hari lalu.

Terdahulu, baginda menyampaikan Kurnia Pelantikan kepada ADUN Bintong, Datuk Seri Azlan Man sebagai Menteri Besar Perlis.

Ini merupakan penggal kedua Datuk Seri Azlan sebagai Menteri Besar. - Berita TV9