Cubaan Sembunyi Tidak Berjaya, kaki Terjulur Keluar Dalam Almari

YAN - Helah seorang penagih dadah yang cuba bersembunyi di dalam almari pakaian bagi mengelakkan ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) gagal dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Permatang Buluh di sini hari ini.

Ketua AADK Daerah Yan, Mohamad Ramli berkata, kehadiran lelaki berusia 25 tahun itu berjaya dikesan selepas penguat kuasa melihat kakinya terjulur dari almari tersebut.

“Semasa anggota AADK sampai ke lokasi dan memberi salam, teman wanitanya yang berusia 25 tahun membuka pintu.

“Ketika pemeriksaan lanjut di bilik ibunya, anggota penguat kuasa ternampak kaki suspek terjulur keluar dari almari pakaian,” katanya kepada Sinar Harian.

Antara yang ditahan dalam beberapa serbuan AADK di Yan, Kedah semalam.
Mohamad berkata, hasil pemeriksaan lanjut di dalam rumah tersebut pihaknya turut menemui satu balang dipercayai berisi syabu yang digunakan bagi tujuan penagihan dadah milik lelaki berkenaan.

“Ujian air kencing mendapati lelaki itu positif methamphetamine.

“Teman wanita turut ditahan kerana mempunyai rekod AADK iaitu gagal hadir jamin,” kata beliau. -Sinar Harian