Video Pegawai Imigresen Tampar Warga Asing Tular.



Jabatan Imigresen Johor mengambil tindakan displin dengan menukar pegawainya serta merta ke bahagian lain selepas video beliau memukul seorang lelaki Myanmar dengan pen ketika berurusan di kaunter jabatan itu tular di laman sosial pagi tadi.

Pengarah Jabatan Imigresen Johor, Datuk Rohaizi Bahari ketika mengesahkan perkara itu berkata, kejadian itu berlaku jam 9 pagi tadi di Bahagian Penguatkuasa Pejabat Imigresen di Bangunan Persekutuan Johor Bahru.

Tegasnya, sebaik menyedari kejadian itu diviralkan, pegawai terbabit telah ditukarkan serta merta ke bahagian lain bagi membolehkan siasatan dilakukan terhadap pegawai terbabit.

Jabatan Imigresen katanya, tidak akan berkompromi dengan perbuatan pegawai berkenaan dan tindakan akan diambil mengikut peraturan sedia ada.

Bagaimanapun katanya, siasatan awal mendapati pemuda keturunan Myanmar berkenaan gagal memahami arahan yang diberikan oleh pegawai terbabit beberapa kali menyebabkan pegawai terbabit hilang sabar.

Punca sebenar kejadian bagaimanapun masih dalam siasatan lanjut.