Rungkai Seni Silat Pahlawan Melayu "Hang Tuah"


Kuala Lumpur: Seni silat Hang Tuah yang dikatakan sudah pupus atau masih menjadi tanda tanya sejak ratusan tahun lalu akhirnya terungkai selepas pelbagai pihak terutama pakar sejarah melakukan kajian sebelum memperkenalkannya kepada umum.

Pengasas Seni Silat Hang Tuah Tan Sri Dr Abdul Latiff Abu Bakar berkata, seni silat berkenaan dihasilkan menerusi penyelidikan yang dilakukan sejak lima tahun lalu oleh pengamal ilmu persilatan dan sejarawan.

Beliau berkata, silat berkenaan dihasilkan menerusi penyelidikan daripada sumber seperti sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah selain beberapa rujukan dari Jepun, China serta Portugal.

“Hang Tuah dikenali sebagai pahlawan yang hebat dan disegani di seluruh dunia dan agak mustahil jika dia tidak mempelajari sebarang ilmu persilatan atau mencipta sendiri.

“Silat Hang Tuah mirip ilmu persilatan pahlawan terbabit kerana tiada catatan secara khusus yang menceritakan mengenai perkara berkenaan,” katanya.

Menurutnya, seni silat terbabit akan dikembangkan kepada generasi muda bagi membina jati diri serta menjadi benteng pertahanan dalam menangani gejala negatif dalam kalangan remaja.

“Usaha ini penting terutama membabitkan pelajar sekolah bagi membina watak peribadi mereka tersendiri di samping mempamerkan sifat dan cara hidup orang Melayu sebenar.

“Kini, kita berusaha mengembangkan Silat Hang Tuah ke sekolah dengan ditawarkan khidmat mengajar seni pertahankan diri itu kepada mereka yang tidak memiliki persatuan silat,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya juga ada menghasilkan buku silat Hang Tuah bagi membolehkan orang ramai lebih memahami berkaitan ilmu pertahankan diri itu.

“Antara objektif lain seni silat Hang Tuah adalah mendidik orang ramai lebih bersopan santun, berbudi pekerti dan taat serta hormat kepada orang tua,” katanya.

Sementara itu, pusat seni silat Hang Tuah dikembangkan di Desa Pinggiran Putra, Putrajaya ada lebih 50 pelajar berusia lingkungan empat hingga 30 tahun.

“Kami akan menarik lebih ramai lagi pelajar terutama remaja mendalami ilmu persilatan ini sekali gus mendidik mereka menjadi insan berakhlak mulia,” katanya. - Harian Metro