Seramai 300 Bekas Komunis Hadiri Majlis Peringati Perjanjian itu Damai Hat Yai Di Kajang

Acara serupa juga akan diadakan di Hat Ya

Polis dilaporkan sedang menyiasat penganjuran sebuah program di Kajang awal hari ini yang diadakan sempena ulang tahun ke-30 Perjanjian Damai Hat Yai (1989).

“Setakat ini tiada sebarang laporan diterima oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang berhubung perhimpunan itu, bagaimanapun kita sudah memperoleh maklumat mengenai penganjurannya.

“Ia berlangsung secara tertutup dan kita masih dalam tindakan menyiasat segala aspek yang berkaitan penganjuran perhimpunan itu,” kata Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, yang dipetik portal berita BH Online.

Awal hari ini, sekumpulan bekas anggota Parti Komunis Malaya (PKM) menganjurkan acara di Kajang untuk memperingati ulang tahun ke-30 Perjanjian Damai Hat Yai yang ditandatangani pada 2 Dis 1989.

Acara serupa juga akan diadakan di Hat Yai esok.

Penandatanganan perjanjian antara PKM dengan kerajaan itu telah menamatkan pemberontakan komunis selama 21 tahun di Tanah Melayu dan membawa kepada pembubaran PKM.

Seramai 300 orang, kebanyakannya warga tua, menghadiri majlis memperingati perjanjian itu.

"Ia juga untuk memulihkan kebenaran yang telah diputarbelitkan dan membetulkan persepsi yang salah terhadap orang ramai terhadap sejarah kita.

"Perjuangan PKM adalah perang yang antipenjajahan dan antiimperialisme, yang berjuang untuk kemerdekaan negara, demokrasi, kebebasan dan kedamaian," tambah bekas ahli PKM, Tan Yi Yu, dalam acara itu.

Turut hadir ialah Adun Sungai Pelek, Ronnie Liu, pemimpin veteran PKR Syed Husin Ali, Dr Michael Jeyakumar dari PSM dan profesor Universiti Kebangsaan Malaysia, Abdul Rahman Embong.

Liu, yang telah memberi ucapan pada majlis itu, menegaskan bahawa dia menghadirinya atas kapasiti peribadi. - Malaysiakini