4 Gambar: Tak Mampu Beli Buku, Punca Pelajar Ini Tulis Guna Daun Pisang


LIANGA - Meskipun kurang mampu, seorang pelajar di Lianga, Filipina gigih ke sekolah dengan hanya berbekalkan daun pisang sebagai buku notanya.

Gurunya, Arcilyn Balbin Azarcon berkata, pelajar terbabit, Erlande Monter terpaksa menulis nota menggunakan daun pisang kerana keluarga tidak mampu membeli buka nota ataupun kertas.

"Walaupun dia hanya guna daun pisang, semua nota yang dipelajari hari itu tetap dicatat dengan sempurna.

"Dia tidak berasa malu tentang buku notanya, sebaliknya berasa bangga kerana kemiskinan tidak menjadi penghalang untuk dirinya mencapai impian dan bercita-cita menjadi seorang askar.

"Hanya guna daun pisang pun boleh belajar dan buat nota ringkas," katanya berkongsi kisah itu di Facebook miliknya.

Arcilyn berkata, pelajarnya sentiasa menunjukkan prestasi cemerlang dalam pelajarannya dan mendoakan agar pelajar itu akan berjaya kelak.

Posting Arcilyn yang penuh inspirasi itu sehingga kini meraih 5,700 perkongsian daripada netizen. - Sinar Harian